Nota Jutawan Nota Motivasi dedah rahsia menjadi jutawan

Oleh ZUARIDA MOHYIN

DAN tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia. (al-Qasas: 77)

Ayat di atas secara jelas menjelaskan kepada kita betapa Islam sangat sayangkan umatnya yang berusaha mengumpul harta di dunia demi mendapat keberkatan di akhirat.

Pun begitu, segelintir umat Islam kurang menyedari hakikat ini dan beranggapan bahawa kekayaan hanya akan menyebabkan seseorang itu lupa akan tanggungjawabnya terhadap agama. Namun, tanggapan sedemikian tidak selalunya benar kerana kemiskinan juga mungkin akan menyebabkan manusia malas berusaha dan menyalahkan takdir di atas kesusahan yang menimpa mereka.

Ini dijelaskan menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Hampir kemiskinan itu membawa kekufuran…. Malah Baginda juga pernah berdoa yang bermaksud: Ya Allah, aku berlindung denganmu daripada kekufuran, kefakiran dan azab kubur…

Apa yang penting, umat Islam seharusnya menjauhi sifat tamak, dengki dan lupa diri apabila mengecapi kekayaan kelak.

Untuk menjadi insan yang berharta, kita perlu mengenal pasti setiap langkah yang bakal diambil bagi mencapai cita-cita tersebut. Bermula dengan keinginan yang tinggi untuk menjadi kaya, ia harus disusuli dengan rangka perancangan yang jelas supaya kita dapat mengurangkan risiko melakukan kesilapan besar dan terus fokus dalam melaksanakan pelan tersebut.

Selain itu, segala usaha yang dibuat hanya dapat dikekalkan sekiranya motivasi untuk menjadi kaya turut dapat dikekalkan. Ia adalah momentum yang perlu sentiasa wujud dalam diri kita. Ibarat kereta tanpa enjin, kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa aspirasi dan motivasi diri yang tinggi.

Seterusnya, setiap langkah yang diambil haruslah relevan dengan cita-cita yang mahu dicapai. Untuk menjadi kaya, antaranya kita perlu mempunyai matlamat yang realistik, menguasai ilmu yang berkaitan, bersedia menghadapi cabaran dari segenap sudut, berfikiran positif, tidak malas, menguasai lapangan komunikasi dan pengucapan awam (public speaking) dengan baik serta menambah rangkaian kenalan (networking).

Setiap perkara yang dinyatakan di atas sangat signifikan kepada mereka yang bercita-cita untuk bergelar seorang jutawan. Sebagai contoh, kemahiran berkomunikasi secara berkesan membolehkan kita menonjolkan kebolehan serta kemampuan kepada mereka yang berminat untuk berurusan dengan kita selain dapat mengelakkan salah faham.

Meramaikan kenalan pula secara tidak langsung dapat melicinkan usaha yang kita lakukan kerana menurut kajian, 85 peratus daripada kejayaan misalnya dalam perniagaan adalah hasil daripada pertolongan orang di sekeliling kita. Ia menggambarkan betapa pentingnya meramaikan kenalan dalam urusan perniagaan.

Seterusnya, untuk berjaya seseorang itu perlulah mempunyai fikiran yang berorientasikan perniagaan (business minded). Setiap perkara yang dilakukan haruslah berbaloi dengan kos, masa serta usaha yang telah dikorbankan. Namun, sebagai seorang Muslim, urusan tersebut tidak seharusnya dilakukan sehingga tersasar daripada batasan agama yang sebenar.

Antaranya, Islam mengharamkan umatnya terlibat dalam riba, rasuah, monopoli dan lain-lain. Pada masa yang sama, Islam menggalakkan kita untuk mencontohi sikap serta usaha yang telah dilakukan oleh mereka yang sudah berjaya.

Ini kerana, kejayaan orang lain sebenarnya adalah perintis jalan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam meniti kejayaan. Idea asas kejayaan mereka bolehlah diadaptasikan dalam perancangan kita.

Melihat kepada kepentingan menjadi kaya untuk menaikkan imej serta memajukan umat Islam secara keseluruhannya, Telaga Biru Sdn. Bhd. menerbitkan buku tulisan jutawan muda negara, Dr. Irfan Khairi yang bertajuk, Nota Jutawan Nota Motivasi.

Kekuatan utama buku ini terletak pada penulis buku ini sendiri iaitu Dr. Irfan Khari, seorang pakar yang terkenal dalam dunia Internet. Beliau mempunyai peminat yang sangat ramai, terbukti melalui kehadiran peserta yang begitu ramai dalam setiap kursus yang dianjurkan beliau.

Buku ini secara khusus mensasarkan kepada mereka yang cenderung untuk meningkatkan taraf hidup pada usia yang masih muda. Ia menggalak serta memberi panduan kepada generasi belia untuk belajar berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri.

Malah buku ini sesuai dijadikan modul untuk bengkel keusahawanan serta boleh dijadikan cenderahati kepada para pelajar mahupun anak-anak.

Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini, sila hubungi talian 03-6275 4070 ataupun sila layari www.telagabiru.net.my.

Biodata Irfan Khairi

NAMA sebenarnya ialah Noor Irfan Khairi Noor Azmi. Dilahirkan pada 17 Disember 1976. Setelah tamat pendidikan tinggi di United Kingdom, beliau berkhidmat dengan Netmedia (UK) Ltd. Birmingham sebagai pereka sistem multimedia dan perunding Internet. Beliau memulakan perniagaan sambilan di Internet pada 1999.

Selepas setahun beliau menumpukan kerja sepenuh masa dari rumah dengan hanya menggunakan laptop dan Internet. Dalam masa tiga tahun beliau memperoleh untung bersih RM1 juta daripada modal awal RM500 ketika berusia 25 tahun. Beliau menulis buku, Rahsia Internet.com: Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar atau Secrets of Internet Millionaires Revealed buku pertama Malaysia dilancarkan di Oxford, UK. Pada 2006 beliau menerima anugerah Young Innovation Award dari Oxford Association of Management, UK. Di samping menjadi kolumnis beberapa majalah tempatan, mengendalikan seminar dan ceramah.

You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Nota Jutawan Nota Motivasi dedah rahsia menjadi jutawan”

  1. online says:

    sangat menarik, terima kasih

Leave a Reply